Friday, August 29, 2008

Kelebihan Hari Jumaat :Part 1


Hari Jumaat dianggap sebagai hari raya mingguan dalam Islam. Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik hari yang matahari terbit pada hari berkenaan ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam telah dijadikan, pada hari itu juga ia dimasukkan dalam syurga, dan pada hari itu juga ia dikeluarkan darinya.
Nama lain bagi hari berkenaan ialah yaumul `l-mazid (hari pemberian tambahan), kerana pada hari tersebut Allah akan memberi rahmat yang banyak kepada hamba-Nya. Segala permohonan yang diminta akan dikabulkan andainya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan “waktu mustajab.”
Waktu mustajab ini tidak mempunyai ketentuan khusus. Dijadikan demikian bertujuan agar setiap hamba itu sentiasa beribadah dan berdoa kepada Allah dalam usaha mencari waktu berkenaan, yang terangkum pada hari Jumaat tadi.
Mengenai waktu mustajab ini Baginda s.a.w. ada bersabda: Malaikat Jibrail r.a., telah datang kepadaku, sedangkan di tapak tangannya ada satu cermin putih. Ia berkata: Ini adalah hari Jumaat, yang telah disediakan untukmu oleh Tuhanmu, untuk menjadi satu hari raya bagimu dan umatmu selepas kau. Di tengah-tengah cermin ini ada satu titik. Aku (Muhammad) bertanya: Titik apakah ini? Ia menjawab: Ia adalah satu saat daripada dua puluh empat jam, barang siapa berdoa kepada Allah taala pada saat itu, nescaya Allah s.w.t. memperkenankan permohonannya. Ia (Jumaat) adalah penghulu semua hari.
Mengenai kemustajaban doa orang yang memohon, yang menepati waktu mustajab ini, Baginda s.a.w. ada bersabda seperti yang tersebut dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah: Pada hari Jumaat itu ada satu saat yang apabila bertepatan dengan seorang Islam ketika ia sedang sembahyang, memohon sesuatu kepada Allah s.w.t., nescaya Allah s.w.t. akan memperkenankannya. Sambil ia mengisyaratkan dengan tangannya, menunjukkan sedikitnya waktu yang dimaksudkan itu.
Biarpun telah dijelaskan tentang tidak adanya ketetapan masa khusus bagi waktu mustajab menurut kebanyakan ulama, namun terdapat pendapat ulama yang berbeza mengenainya.
Dalam sebuah hadis daripada Abi burdah bin Abi al-Amusa al-Asy’ari r.a. beliau telah berkata bahawa Abdullah bin Umar r.a. pernah mendengar Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa waktu mustajab berkenaan ialah antara duduknya iman di atas mimbar sehinggalah sembahyang sempurna dilakukan.
Terdapat hadis lain menyatakan bahawa Baginda s.a.w. ada menjelaskan bahawa waktu tersebut ialah selepas waktu asar pada hari berkenaan. Barang siapa berdoa dan menepati waktu tersebut, maka Allah akan memperkenankan permohonan berkenaan.
Dalam sebuah hadis daripada Abi Salamah bin Abdul Rahman, beliau berkata, ada sekumpulan sahabat Rasulullah s.a.w. duduk berkumpul, lalu mereka membincangkan waktu mustajab yang terdapat pada hari Jumaat. Mereka kemudian pergi setelah menetapkan bahawa saat itu ialah pada akhir waktu hari Jumaat.
Jelasnya, penghulu segala hari dalam seminggu ialah hari Jumaat. Sebagai seorang hamba Allah yang ingin bertakarub, menghampirkan diri kepada Allah, dan melakukan sesuatu yang terbaik, seseorang itu perlu mengambil peluang dengan kehadiran hari yang mempunyai banyak fadilat, yang didatangkan sekali dalam seminggu dengan beribadah agar kehadiran manusia di muka bumi ini bertepatan dengan firman Allah (az-Zariyat:56), iaitu untuk beribadah kepadanya.
Setiap hari Jumaat, Allah s.w.t. mengutuskan malaikat ke bumi, mencatat nama mereka yang ke masjid. Malaikat-malaikat akan ke langit menyembahkan apa yang dicatatnya. Allah s.w.t. mengampunkan dosa-dosa mereka yang datang ke masjid.

No comments: